Tuesday, November 11, 2014

PGSM

Seni Persilatan Gerakan Suci Mangkubumi adalah gerak buah dan tari fizikal seni pencak silat setrum yang terhasil dari gerakan dalaman yang sedia wujud dalam diri seseorang manusia. Gerakan ini adalah yang bersesuaian dengan fitrah dan kejadian manusia itu sendiri. Gerakan ini wujud melalui semangat juang dalam diri setiap individu serta mengeksploitasi kesemua kekuatan yang dijadikan Allah yang ada pada diri setiap manusia. Gerakan ini tidak perlukan Tawassul kepada makhluk lain seperti Jin dan sebagainya untuk menghidupkannya kerana ianya telah sedia ada dalam diri seseorang. Cuma perlu dihidupkan dengan bacaan tertentu dalam air kemudian diminum beserta niat memohon agar Allah Taala menghidupkannya.

Pada setiap jasad manusia sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Kelebihan ini adalah merupakan unsur Kekuatan yang perlu dipergunakan sebaik mungkin sebagai senjata dalam menumpaskan musuh. Sebagai contohnya pada seseorang ada EMPAT UNSUR KEKUATAN yang dikurniakan Allah iaitu pada TANGAN ( Buku Lima, Ruas Jari, Sisi Tapak Tangan dan Tapak Depan Tangan ). Pada KAKI ( Tapak Depan, Tapak Padu, Sisi Tapak Kaki dan Tumit ). Pada Papan Lengan yang boleh digerakkan kepada EMPAT ARAH SANGGA. Keempat-empat unsur kekuatan ini dimanifestasikan dalam gerak pencak silat PGSM.


Pelajaran awal adalah berkisar kepada latihan menggunakan kesemua unsur kekuatan yang ada pada diri seseorang manusia. Ia akan dibantu melalui gerakan pencak silat dalaman kurniaan Illahi yang dipohon terus dari Illahi tanpa menggunakan bantuan Jin dan sebagainya. Gerakan pencak silat dalaman ini adalah terhasil dari amalan zikir dan doa ke hadrat Illahi. Semua ahli dikehendaki melalui Primbon Senopati hingga tamat untuk melayakkan diri diijazahkan sebagai Guru Satria Muda.

Gerakan Suci juga membawa maksud keutamaan kepada kesemua ahli agar mensucikan diri dari maksiat dan syirik termasuk syirik yang tersembunyi. Memegang prinsip Aqidah yang Utama iaitu : ‘HANYA ALLAH TAALA SAHAJA YANG BERKUASA KE ATAS SETIAP SESUATU’. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Kuasa Allah jua.Selain dari itu, para ahli juga diingatkan agar tidak meninggalkan solat lima waktu dan kewajipan yang lain serta menghurmati ibu-bapa, guru, rakan seperguruan dan seni persilatan yang lain.

Sunan Gunung Jati As Syeikh Nuruddin Fathillah Syarif Hidayatullah adalah pengasas kepada Aurad Zikir dan Amalan dalam Gerakan Suci. Amalan kesufian ini diterima secara turun-temurun dari Maulana Sayyid Hussein Jamadul Kubra hingga kepada Al Madad Al Imam As Syeikh Abdul Qadir Jailani. Pengamalan Aurad Tariqat Qadiri ini telah menjadi amalan wajib dalam Persilatan Gerakan Suci.
Sayyidin Panatagama Pangeran Mangkubumi Hamengkubuwono Senopati Khalifatullah adalah pengasas kepada Jurus Tenaga Dalam Mangkubumi. Gerakan Pencak Setruman yang dipencakkan dengan aliran tenaga dalam serta Jurus Pernafasan memperkuatkan tenaga dalaman seseorang individu serta meningkatkan semangat juang yang tinggi. Persilatan Gerakan Suci Mangkubumi, mengekalkan ciri Jurus Tenaga Dalam bagi memastikan bahawa setiap ahli dibangunkan tenaganya secara fizikal dan spiritual.


Bendoro Raden Mas Ontowiryo As Syeikh Sultan Abdul Hamid Pangeran Al Hadi Diponegoro adalah putra kepada Pangeran Mangkubumi merupakan seorang pejuang agama Islam yang digeruni dengan keberanian serta semangat juang dalam menuntut kemerdekaan tanah Indonesia dari penjajahan Belanda.

Prabu Raja Sayyidin Kinunjara Ingkang Sinuhun Susuhunan Tunku Besar Tampin VII, Kanjeng Gusti Pangeran Mulya Mangkoebumi Tunku Syed Razman Ibni Syed Idrus Al Qadri Pamungkas Khalifatullah telah dimasyhurkan sebagai Payung Penaung Khalifah pada tanggal 15hb November 2014.

Keris Tambe Singa Barong Pangeran Sendang, Warih Anom Mataram yang bertatahkan 18 karat emas kini telah diwariskan kepada YTM Tunku dan dijadikan Keris Istiadat.

Mangkubumi adalah membawa maksud memangku pada bumi yang dipijak agar kedudukan langkah kaki sentiasa tetap dan tidak mudah bergoyang atau tergelincir. Langkah kuda-kuda yang dipasang adalah menggunakan unsur kekuatan tenaga dalam yang padu dan jitu pada bumi.

Mangkubumi juga membawa maksud persilatan yang mempergunakan keempat-empat unsur yang terdapat pada bumi yaitu Tanah, Air, Api dan Angin. Unsur tanah adalah unsur diri setiap insan, unsur penyejuk kerana kadang-kadang amalan zikir dan doa boleh membakar semangat juang seseorang. Para ahli juga diberi minum air penawar untuk menyejukkan unsur dalaman diri mereka. Semangat juang yang membara adalah perlu kepada setiap insan agar menjadikan mereka insan yang berani dalam menghadapi apa jua situasi.

Namun semangat ini perlu bertempat agar mereka tidak mencari permusuhan sesama ahli atau dengan persilatan yang lain terutama sesama umat Islam.

GPU.